IQNA

Manfaat masjid, teknologi lonjak produktiviti ekonomi Islam

13:16 - January 15, 2022
Berita ID: 3100643
TEHRAN (IQNA) - Dari segi pandangan umum, peranan masjid tidak lebih sekadar tempat untuk beribadah atau menunaikan solat, sedangkan fungsi sebenarnya jauh lebih luas daripada itu.

Masjid sendiri sebenarnya melambangkan perpaduan dan ukhuwah umat Islam, selain medium untuk menjana serta membangunkan modal insan sama ada dari aspek akhlak atau kerohanian.

Pembangunan modal insan menyeluruh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi umat Islam akhirnya.

Jika dilihat ketika zaman Rasulullah SAW, masjid memainkan peranan cukup luas mencakupi aspek pentadbiran negara, ekonomi, sosial, keselamatan, pendidikan serta pusat peluasan agama dan sebagainya.

Allah SWT sendiri turut menekankan kaitan masjid dengan ekonomi melalui firmannya yang bermaksud: "Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah al-Jumu'ah, ayat 10)

Dalam konteks komuniti setempat, masjid dilihat sebagai institusi pemangkin kepada sumber rezeki atau dengan kata lain, penyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti.

Abdul Ghani (2004) dalam kajiannya menjelaskan konsep pembangunan ekonomi Islam melihat kepada pengembangan sumber daya manusia dan penguasaan teknologi sebagai penggerak utama pembangunan ekonomi.

Pengembangan sumber daya manusia merangkumi seluruh potensi dan keupayaan serta kualiti kemanusiaan dari sudut rohani dan moral. Ilmu dan teknologi pula asas semakin penting dalam menjana pembangunan ekonomi umat Islam.

Semakin tinggi pencapaian warga umat Islam dalam bidang ilmu dan teknologi, maka semakin meningkat kemajuan pembangunan ekonomi dicapai.

Selaras perkembangan teknologi dan keperluan mengurangkan tekanan kemiskinan akibat pandemik, peranan masjid sebagai pemangkin ekonomi umat Islam perlu dipertingkatkan.

Hari ini, banyak masjid mula menjalankan aktiviti ekonomi untuk meningkatkan dana masjid. Fungsinya, supaya dana ini kemudian boleh digunakan pula untuk membantu komuniti setempat.

Aktiviti perekonomian masjid boleh berlaku dalam pelbagai cara. Sebagai contoh, institusi masjid dan surau boleh melaksanakan aktiviti perniagaan sosial asas seperti penyewaan aset masjid, perusahaan projek pertanian atau melabur dalam koperasi masjid yang secara tidak langsung menambah pendapatan secara bulanan.

Untuk meningkatkan kapasiti perekonomian masjid, teknologi boleh dijadikan penyambung kepada aktiviti dijalankan di masjid.

Contohnya, menerusi teknologi bukan setakat penjualan, pemprosesan aktiviti juga boleh dijalankan di masjid. Sudah tiba masanya masjid mempelbagaikan produk, sebagai contoh menyediakan mesin layan diri supaya sesiapa yang mengunjungi masjid boleh membeli minuman atau makanan tanpa perlu menyediakan kantin atau kafe.

Perkembangan teknologi digital juga dapat merancakkan aktiviti ekonomi di mana platform seperti Lazada dan Shopee, serta saluran media sosial seperti Facebook, Telegram, Twitter dan sebagainya dapat membantu dari segi agihan dan logistik pelbagai produk dikeluarkan masjid.

Ia seterusnya meningkatkan dana kewangan masjid yang kemudian boleh disalurkan kepada golongan memerlukan, terutama masyarakat Islam setempat di kala pandemik ini.

Memetik kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail, selain mengimarahkan masjid dalam bentuk kerohanian, aktiviti muamalat dan ekonomi juga boleh dijalankan untuk menambah dana dan membiayai semua aktiviti masjid tanpa perlu bergantung kepada kerajaan.

Penubuhan koperasi masjid satu alternatif kepada peranan masjid itu sendiri, sebagai pemangkin pembangunan ekonomi. Masjid juga boleh menggunakan platform digital untuk memasarkan produk dihasilkan komuniti sekitar melalui koperasi masjid.

Sebagai contoh, projek perekonomian dijalankan Masjid Taman Desa Ilmu di Kota Samarahan, Sarawak yang melaksanakan penanaman cili fertigasi dengan mengguna pakai teknologi internet kebendaan (IoT).

Dengan bermodalkan RM5,000 projek ini menjana hasil tuaian sehingga 45 kilogram (kg) cili untuk sekali tuaian bagi 1,000 pokok dengan harga pasaran cili padi RM30 per sekilogram. Melalui projek ini, Masjid Taman Desa Ilmu menjana sehingga RM1,350 untuk sekali tuaian.

Ia membuktikan perkembangan pesat teknologi digital mendorong pertumbuhan sosioekonomi Islam lebih mampan seperti penggunaan IoT dalam sektor pertanian yang dijalankan masjid.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, ketika Majlis Prapelancaran Pelancongan Masjid Sarawak pada 27 November 2021, menyatakan masjid boleh dijadikan antara produk pelancongan yang dapat meningkatkan aktiviti ekonomi negara.

Katanya, di Sarawak misalnya, keunikan masjidnya serta kekayaan budaya negeri menjadikan faktor ini sebagai tarikan kepada aktiviti pelancongan Sarawak, khususnya dan Malaysia secara amnya.

Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat 6,000 masjid dibina di seluruh negara, di mana 80 daripadanya mempunyai potensi besar dibangunkan di bawah program pelancongan masjid.

Nilai estetik masjid dan perkembangan teknologi serta capaian internet yang pantas menyumbang peranan masjid dalam bidang pelancongan.

Namun, untuk menjadikan masjid pusat aktiviti ekonomi, ia perlu mendapat kerjasama semua pihak. JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta masyarakat Islam secara keseluruhan, perlu buka mata dan minda melihat secara lebih luas konteks pengimarahan masjid, khususnya dalam aspek fungsi pembangunan ekonomi Islam.

Aktiviti ekonomi membabitkan masjid seperti pertanian moden, perniagaan peruncitan, pelancongan, koperasi dan pelaburan hartanah boleh dijadikan medium untuk membantu masyarakat Islam.

Kehidupan di zaman millennial yang mana masyarakat lebih banyak berkomunikasi di hadapan komputer dan secara dalam talian, menjadikan perkembangan teknologi faktor penting membangunkan ekonomi menerusi pengimarahan masjid.

bharian

captcha